Sumber: Berita Harian
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi menerima sebanyak 30,414
permohonan rayuan untuk kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia (STPM)/Setaraf (Ijazah Pertama) Sesi Akademik 2011/2012.
Daripada jumlah itu, sebanyak 16,159 atau 53.13 peratus permohonan
rayuan diterima daripada calon memiliki kelayakan diploma atau setaraf,
12,183 atau 40.06 peratus (STPM), 1,057 atau 3.48 peratus
(matrikulasi/asasi) dan 1,015 atau 3.34 peratus (Sijil Tinggi Agama
Malaysia/STAM).
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Prof Datuk Dr Rujhan
Mustafa, berkata Mesyuarat Pemilihan Bersama Rayuan akan diadakan mulai
Isnin depan sehingga 15 September ini.
Beliau berkata, keputusan permohonan rayuan itu akan diumumkan pada 17
September ini mulai jam 12 tengah hari melalui url upu.mohe.gov.my yang
mana calon boleh mencetak surat tawaran menerusi laman web IPTA
berkaitan dan mereka yang berjaya dijadual mendaftar di universiti mulai
19 September ini.